Tuesday, 4 November 2014

Tips kecantikan cara neelofa

Foto artikel kredit Sinar Harian.

NAMA Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.
Semenjak dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2010/2011, karier gadis bertubuh genit, berkulit putih gebu ini terus melonjak naik.
Dikenali bukan sahaja kerana bakat dan kepetahannya bercakap, namun kecantikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan yang berdarah kacukan Pakistan dan Arab ini membuatkan dia sering menjadi perhatian ramai.
Justeru, Zass mendekati pendukung utama filem Azura ini untuk mengetahui rahsia dia menjaga kecantikan dan kelangsingan tubuhnya.

Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Bagi saya, cantik dan sihat adalah satu perkara yang subjektif. Ia melibatkan cara hidup, pemakanan kita kerana ada sesetengah orang amat menitik beratkan soal pemakanan dan ada pula yang sebaliknya.
Sebagai seorang selebriti, pastinya anda sangat mementingkan kecantikan…
Jika saya bukan selebriti, kecantikan itu adalah penting. Namun cantik itu bukan meliputi wajah semata-mata, tetapi juga hati.

Adakah anda gemar mengenakan solekan tebal ketika keluar rumah?
Dulu ya, tetapi kini saya lebih suka kelihatan natural. Cukup dengan pelembap bibir, bedak kerana saya mahu kulit saya dapat bernafas.

Anda mempunyai kulit yang putih dan gebu, apa rahsianya?
Saya akui agak menitik beratkan kecantikan kulit. Tapi saya tidaklah terlalu cerewet dengan penjagaan. Percaya atau tidak, saya tidak menggunakan krim siang atau krim malam. Sebaliknya hanya memakai serum untuk kulit.
Biar pun mahal, pada saya jika bagus untuk kulit tidak salah kita keluar belanja lebih sedikit. Selain itu, saya juga turut mengambil suplemen untuk kecantikan kulit.

Ada amalkan cara tradisional untuk menjaga kulit?
Sejujurnya tidak kerana ada sesetengah barang tradisional agak susah didapati. Jadi sekarang banyak produk moden seperti mask, lulur yang boleh didapati di kedai. Jadi saya hanya gunakan cara moden kerana ia lebih menjimatkan masa.

Ada sesetengah selebriti gemar memilih suntikan untuk kecantikan, anda pula bagaimana?
Ia terpulang pada selebriti atau individu itu. Pada pendapat saya suntikan vitamin atau suntikan antioksidan memang bagus untuk kulit apatah lagi, sebagai manusia biasa, kita kadangkala tidak mampu mengawal pengambilan makanan atau mengikut susunan piramid makanan yang ditetapkan. Jadi suntikan seperti ini dapat membantu kita menjaga kulit.
Tapi macam saya katakan tadi, ia terpulang pada individu tersebut kerana suntikan ini memerlukan kos yang tinggi dan komitmen. Jadi kalau tidak mahu keluarkan belanja yang banyak, jagalah kulit dengan pemakaian produk sahaja.

Anda antara selebriti yang mempunyai tubuh yang cantik, apa rahsianya?
Saya tidak mengamalkan apa-apa rahsia kerana saya sebenarnya suka makan. Cuma saya gemar ke gimnasium kerana kalau kita kurus sahaja tak guna, apa yang penting tubuh kita nampak ‘fit’.

Bagaimana rutin pemakanan anda?
Saya makan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Bagi saya jika kita pandai kawal kuantiti pemakanan, badan kita akan sentiasa ‘maintain’. Manakala pengambilan makanan segera pula perlu dielakkan, kalau boleh hanya sebulan sekali sahaja kerana makanan segera tidak elok untuk tubuh kita.

Berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan kulit, wajah dan rambut, setiap bulan?
Saya tidak tetapkan sebarang kos setiap bulan kerana tidak tetap. Ada produk yang boleh pakai dalam tempoh lebih sebulan. Jadi ia bergantung kepada keadaan juga.

Bagaimana cara anda menangani tekanan?
Biasanya saya akan luangkan masa bersama keluarga kerana keluarga adalah tempat yang sesuai untuk kita berkongsi masalah bergembira. Selain itu saya suka berbelanja untuk diri sendiri seperti makan dan membeli-belah. Ia akan buat saya rasa lebih ceria.

Apa perkembangan terbaru anda?
Saya kini hanya terlibat dengan program Nona dan Meletop sebagai pengacara, manakala filem baru saya yang diarahkan oleh Osman Ali akan memulakan penggambaran Januari nanti.

No comments:

Post a Comment